Browsed by
Category: 360

Fahami Insurans Kenderaan Anda: Apa itu NCD?

Fahami Insurans Kenderaan Anda: Apa itu NCD?

Setiap kenderaan yang anda miliki pastinya anda akan mempunyai polisi insurans untuk melindungi kenderaan tersebut. Polisi insurans ini kebiasaannya ditetapkan mengikut harga semasa anda membeli kenderaan tersebut. Kenderaan baru akan memiliki harga polisi yang tinggi kerana ia merupakan kali pertama anda membayar polisi insurans tersebut.

 

Perlindungan daripada polisi insurans adalah sangat penting terutamanya ketika anda bergerak di atas jalan raya kerana ia melibatkan pelbagai pengguna jalan raya yang lain. Sebarang kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku oleh itu anda akan berasa lebih selamat sekiranya  kenderaan anda telah dilindungi dengan polisi insurans.

Namun demikian, tahukah anda ada satu komponen dalam polisi insurans yang akan membantu anda memperoleh ganjaran daripada polisi ini apabila tiada apa-apa kejadian yang berlaku ke atas kenderaan anda sepanjang tempoh perlindungan polisi tersebut. Komponen ini dipanggil NCD.

Apa itu NCD dan bagaimana ia dapat menjimatkan premium insurans anda

Salah satu komponen penting dalam polisi insurans kenderaan adalam NCD atau nama panjang nya “No Claim Discount”.  Dalam Bahasa Melayu pula ia dipanggil Diskaun Tiada Tuntutan. Komponen ini adalah sangat penting kerana ia akan memberi ganjaran kepada pemilik polisi oleh itu pengguna perlu memahaminya supaya ganjaran akan diperoleh sepenuhnya.

NCD atau juga dikenali sebagai No Claim Bonus, adalah suatu jenis bonus atau ganjaran yang diberi kepada pengguna jika tiada tuntutan dibuat terhadap polisi kenderaan untuk tempoh 12 bulan sebelum itu. Ini bermakna sekiranya anda tidak pernah membuat tuntutan selama 12 bulan sepanjang anda memegang polisi, maka pada masa anda memperbaharuinya, anda akan mendapat diskaun.

Berapa banyak diskaun?

Berapa banyak diskaun yang akan anda perolehi adalah bergantung kepada kenderaan yang anda miliki untuk polisi tersebut. Secara amnya kenderaan persendirian akan menikmati diskaun yang lebih tinggi berbanding kenderaan lain seperti komersial atau motosikal. Anda boleh merujuk kepada gambarajah seperti di bawah untuk menuntukan diskaun yang akan anda perolehi, mengikut jenis kenderaan dan jumlah tempoh mengikut tahun.

Kadar ini ditetapkan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) oleh itu ianya tidak akan berbeza-beza mengikut syarikat insurans.

 

Bagaimana fungsinya?

Untuk mendapatkan diskaunnya, anda perlu memenuhi syarat 12 bulan tanpa tuntutan. Ini bermakna, jika anda membeli polisi insurans kenderaan untuk pertama kalinya, anda cuma akan dapat diskaun di masa anda perlu memperbaharui polisi itu setelah tahun pertama. Di sini, anda dapat menikmati diskaun sebanyak 25% (kita ambil contoh kenderaan persendirian).

Seterusnya, jika anda terus tidak membuat sebarang tuntutan untuk tahun kedua (iaitu 24 bulan tanpa tuntutan) maka diskaun anda akan meningkat ke 30% semasa pembaharuan tahun ketiga.

Apa pula akan terjadi jika anda terpaksa melakukan tuntutan? Contohnya pada tahun ketiga, anda kemalangan dan terpaksa membuat tuntutan dari pihak insurans untuk membaiki kenderaan. Maka, di masa pembaharuan polisi, anda tidak lagi akan mendapat diskaun. Diskaun anda akan kembali kepada 0% seperti tahun pertama, dan anda mula semula dari tahap paling atas seperti dalam gambarajah. Dan tahun berikutnya jika tiada tuntutan dibuat maka diskaun anda adalah 25%.

Beberapa faktor penting mengenai NCD:

No-Fault Damage

No-fault damage adalah tuntutan kerosakan yang bukan disebabkan diri sendiri. Anda tidak akan kehilangan diskaun NCD kereta anda atas tuntutan sebegini. Contohnya, jika berlaku kemalangan yang disebabkan oleh pihak ketiga (orang lain), anda mempunyai pilihan untuk samada membuat tuntutan terhadap polisi pihak ketiga pihak terbabit, ataupun terhadap polisi komprehensif anda sendiri tanpa menjejaskan NCD kereta anda.

Ia boleh dipindahkan

Ia boleh dipindahkan dari satu kereta ke kereta lain. Contohnya jika anda mempunyai NCD sebanyak 30% dan anda ingin menjual kereta anda untuk membeli kereta baru, anda boleh memindahkan diskaun 30% itu kepada kereta baru anda.
Bagaimanapun jika anda membeli kereta baru tetapi anda tetap menyimpan kenderaan lama anda, maka kereta baru anda tiada NCD (0%) kerana anda tidak boleh menggunakan satu NCD pada lebih dari satu kenderaan. Di sini kami menasihatkan jika anda memiliki lebih dari satu kenderaan, anda sewajarnya memindahkan NCD yang tertinggi diskaunnya ke kereta yang paling tinggi harga pasarannya untuk mendapat lebih penjimatan premium.

Penukaran syarikat insurans

Jika anda ingin menukar syarikat insurans/ takaful anda, NCD kereta anda tidak akan terjejas. Bermakna anda tetap akan dapat menikmati kadar NCD yang anda telah capai walaupun dengan syarikat insurans baru.

Polisi cermin kereta

Polisi cermin kenderaan adalah satu polisi tambahan pada insurans komprehensif anda. Ramai yang memilih untuk memilikinya memandangkan jumlah yang tinggi untuk membaiki/ menukar cermin yang pecah. Jika anda memiliki polisi cermin kereta, dan membuat tuntutan terhadapnya, NCD kereta anda tidak akan terjejas. Tetapi jika anda tidak memiliki polisi ini, bila berlaku kemalangan di mana anda terpaksa membuat tuntutan bagi menukar cermin kereta anda, maka anda akan kehilangan NCD anda.

Bagaimana untuk menikmati ganjaran NCD sepenuhnya?

Ada masanya di mana ianya lebih bijak untuk membayar kos kerosakan sendiri daripada membuat tuntutan insurans untuk mengelakkan kehilangan NCD. Contohnya jika kos membaiki adalah sedikit dibandingkan dengan penjimatan yang diperolehi dari NCD. Jadi anda perlu ambil tahu berapakah premium yang anda bayar dan berapakah penjimatan dari NCD anda, supaya anda dapat membuat pilihan yang bijak. Contohnya:

A. Jika anda tidak memiliki polisi cermin kereta:

 

Kos membaiki cermin adalah RM 500. Kadar NCD anda ialah 55% yang memberi diskaun sebanyak RM 600. Di sini, anda tidak usah tuntut dari pihak insurans anda tetapi lebih bijak jika anda membayar sendiri kos membaiki itu. Ini kerana, anda bukan saja akan dapat menjimat RM 100 tetapi anda mendapat lebih daripada itu kerana NCD kereta anda tetap meningkat. NCD adalah lebih bernilai kerana peningkatannya setiap tahun.

B. Jika anda memiliki polisi cermin kereta:

Jika anda memiliki polisi cermin kereta, anda tidak perlu membuat tuntutan terhadap polisi ini kerana anda tidak akan kehilangan NCD anda.

Jadilah pengguna yang bijak. Fahami polisi anda, bukan saja ia dapat melindungi hak anda sebagai pemegang polisi, tetapi juga menjimatkan kos anda. Jika anda tidak pasti, dapatkan penjelasan ejen anda.

Periksa NCD anda online: Anda boleh periksa kadar NCD kereta anda di sini.

Sumber : ibanding

 

 

————–

Miliki Subaru Forester / XV mulai hari ini! Hubungi / Whatsapp penasihat jualan Subaru Kuantan seperti di bawah untuk maklumat lanjut, atau untuk menempah sesi pandu uji. Kunjungi bilik pameran kami dan alami sendiri kehebatan kenderaan Subaru.
 
RSS
Follow by Email
Back to top